MELAKA: Seorang lelaki yang menjadi keldai akaun didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Halimee Azman, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menyembunyikan sesuatu harta melalui akaun bank CIMB miliknya iaitu wang hasil penipuan Macau Scam daripada mangsa penama Rosidah Manah@Manap, 56, berjumlah RM10,000.
Tertuduh pada ketika itu juga didapati mengetahui bahawa wang tersebut diperoleh daripada cara penipuan.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 12.54 sehingga 12.59 tengah hari di Bank CIMB Ayer Keroh di sini pada 12 September 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan menyesal akan perbuatan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. –UTUSAN ONLINE