KOTA BHARU: Sebanyak 70 lukisan kartun berkait dengan keselamatan jalan raya dipamerkan di muzium negeri ini dalam usaha mendidik masyarakat supaya peka dan mengambil berat aspek tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Mejar (B) Md. Anizam Abdul Rahman berkata, pameran kartun yang julung kali diadakan bermula 1 Ogos lalu sehingga 30 September depan mendapat kerjasama dari institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
“Lukisan yang dihasilkan ini adalah menerusi pertandingan yang berkisarkan keselamatan jalan raya.
“Tujuannya ialah untuk menyedarkan masyarakat tentang kemalangan terutama kepada golongan kanak-kanak,” katanya selepas merasmikan Pameran Kartun Antarbangsa Ke Arah Jalan Raya Lebih Selamat 2022 diadakan di Balai Seni Lukis Kelantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Miros Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, Kelantan dipilih mengadakan pameran tersebut kerana penduduk negeri ini mempunyai kekuatan seni yang tersendiri.
Katanya, Miros percaya pameran ini akan mendapat sokongan padu dalam kalangan masyarakat untuk hadir menyaksikan pameran tersebut. –UTUSAN ONLINE