KANGAR: Bagi menyemarakkan semangat cintakan negara sempena ulang tahun kemerdekaan ke-65, kedai emas Hajjah Halijah mengambil inisiatif mengedarkan sebanyak 300 Jalur Gemilang yang diagihkan secara pandu lalu kepada kenderaan di hadapan premis tersebut di sini baru-baru ini.
Program yang bertujuan menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat itu turut melibatkan komuniti setempat.
Penganjuran program yang bermula pukul 4 petang itu mendapat sambutan hebat apabila semua bendera tersebut selesai diagihkan hanya dalam tempoh 30 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, pihaknya menganjurkan program berkenaan pada Bulan Kemerdekaan ini bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jalur Gemilang ini diedarkan bagi menaikkan semangat orang ramai agar mereka dapat bersama-sama menyemarakkan suasana kemerdekaan dengan bersama-sama mengibarkan bendera kebangsaan kita.
“Selain itu, penganjuran program ini juga disekalikan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran saya, bersama ibu, Halijah Saad dan ayah, Shukri Othman yang merupakan pengasas perniagaan ini,” katanya.
Selain di Kangar, Mohd. Shaiful berkata, Jalur Gemilang itu turut diedarkan sekitar cawangan kedai emas yang lain juga.
Katanya, program tersebut akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dan turut menjadi acara tahunan untuk diraikan bersama masyarakat.
“Pada tahun lalu, kami hanya mengedarkan sekitar 200 Jalur Gemilang namun tahun ini kami menambah jumlahnya susulan sambutan memberangsangkan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shaiful berkata, emas diibaratkan signifikan dengan merdeka memandangkan masyarakat zaman dahulu menjadikannya sebagai simpanan bagi menggantikan wang tunai.
Berikutan itu, Mohd. Shaiful turut menyarankan semua pihak agar dapat menyimpan emas bagi dijadikan aset pelaburan pada masa hadapan.
“Emas adalah pelaburan masa hadapan dan disebabkan itu semua pihak perlu menyimpannya untuk dijadikan aset turun-temurun,”katanya. –UTUSAN