SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang mengenal pasti kawasan untuk dijadikan hentian di lokasi Jalan Temiang-Pantai di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini satu kawasan berdekatan persimpangan masuk dari Jalan Pantai telah dikenal pasti sesuai dijadikan kawasan parkir, namun berstatus tanah persendirian.
“Bagaimanapun kawasan tersebut adalah tanah milik individu dengan keluasan 0.68 hektar. Pada masa yang sama kerajaan akan mengenal pasti tempat lain yang sesuai bagi tujuan tersebut dan akan melibatkan proses pengambilan balik tanah,” katanya dalam Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang ingin mengetahui sejauh mana cadangan kerajaan negeri bagi membina kawasan hentian di Jalan Temiang-Pantai.
Sementara itu, menjawab soalan berkaitan perancangan menambah lampu-lampu awam di jalan tersebut, Aminuddin memaklumkan, JKR Negeri Sembilan telah mengangkat permohonan penambahan lampu jalan melalui surat jabatan pada 8 Februari lalu kepada Cawangan Jalan, JKR ibu pejabat.
“Bagaimanapun permohonan tersebut tidak dipertimbangkan kerana skop kerja asal pemasangan lampu jalan bagi Projek Jalan Penghubung Interchange (Persimpangan) Temiang–Pantai tersebut adalah sehingga persimpangan bulatan sahaja.
“Sehubungan dengan itu JKR Negeri Sembilan akan mengangkat permohonan baharu penambahan lampu jalan di bawah Program Keselamatan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia dalam rolling plan (rancangan boleh pinda) akan datang,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan gesaan beberapa pihak yang meminta pihak berwajib mewujudkan satu kawasan parkir ataupun hentian rehat dan rawat (R&R) di Jalan Temiang-Pantai susulan meningkatnya jumlah pengguna jalan raya di laluan tersebut.
Menurut mereka, dengan adanya R&R dan parkir itu, pengguna jalan raya boleh berhenti mengambil gambar pemandangan di kawasan itu dalam keadaan selamat dan selesa.
Menyedari isu, Aminuddin pada awal tahun ini pernah menegaskan, kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan Persekutuan bagi membina tempat meletak kenderaan di Jalan Temiang-Pantai yang menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar. – UTUSAN