MELAKA: Jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diberi penekanan pada Karnival Sains Melaka yang dijangka berlangsung tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, hasrat untuk menganjurkan karnival itu adalah sebahagian daripada hasil lawatannya ke Sabah baru-baru ini.
“Sabah ketika ini sedang menganjurkan Karnival Sains Sabah dan kita akan cuba anjurkan di Melaka pula pada tahun depan. Kita sudah kena fokus kepada STEM, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan sebagainya.
“Saya harap mereka (delegasi) dapat ambil sesuatu dan bekerjasama dengan kerajaan negeri. Saya juga mahu berbincang dengan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi terlebih dahulu mengenai bajet kerana Melaka sudah melancarkan SMART Melaka Blueprint 2035,” katanya dalam sidang akhbar sempena Simposium Belt and Road Initiative di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Kedutaan Republik China ke Malaysia, Tang Rui dan Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Mengulas lanjut, Rais memberitahu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Sabah bagi merealisasikan penganjuran Karnival Sains Melaka.
Katanya, perincian kerjasama berkenaan akan dimaklumkan pada masa akan datang.
“Sudah tentu (kerjasama), tetapi itu akan diperincikan lagi dan akan dimaklumkan pada masa depan. Antara perinciannya adalah tertumpu kepada STEM,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE