KANGAR: Taikun perkapalan Hong Kong, Antony Marden dipercayai pemilik kapal layar mewah jenis Adastra yang berlabuh di perairan Kuala Perlis berhampiran terminal feri di sini, sehingga mencuri perhatian orang ramai, kelmarin.
Kehadiran kapal layar mewah itu menggamit perhatian terutama nelayan dan penduduk yang memaklumkan pertama kali melihat kapal mempunyai reka bentuk unik berkenaan.
Kapal layar sepanjang 42.5 meter itu memasuki muara sungai Kuala Perlis sekitar pukul 12 tengah hari kelmarin ketika air pasang.
Difahamkan, reka bentuk kapal layar yang elegan itu pernah memenangi Anugerah Dunia Superyacht 2013 dan dianggarkan bernilai US10 juta dolar atau RM45 juta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid berkata, kapal berkenaan dalam perjalanan menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME) di sini.
“Kapal tersebut didaftarkan di Hong Kong milik syarikat Dark Star Limited menuju ke PME bagi tujuan penyelenggaraan atau pembaikan. Difahamkan, proses tersebut dijadualkan hari ini atau esok,” katanya.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang Boat International mendapati, kapal layar mewah itu dapat memuatkan sembilan penumpang dan lima kru.
Ia mampu bergerak pada kelajuan 23.2 knot dan diserahkan pada tahun 2012 selepas dibina syarikat McConaghy Boats di Zhuhai, China.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Jasmi Hashim berkata, kapal layar mewah berkenaan sangat canggih dan jarang dilihat di kawasan itu.
“Kehadiran kapal layar berkenaan membuatkan orang ramai terutama komuniti nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut teruja.
“Kapal layar itu dipercayai menuju ke sebuah dermaga kapal yang terletak kira-kira satu kilometer dari muara sungai berkenaan. Kapal berkenaan tidak menghalang laluan nelayan lain, namun rata-rata begitu teruja dengan kehadirannya dan ada yang kali pertama melihatnya dari dekat,” katanya. –UTUSAN ONLINE