'Jus syabu’, ketamin dijual RM250 di pusat hiburan - Utusan Malaysia

‘Jus syabu’, ketamin dijual RM250 di pusat hiburan

KAMARUL ZAMAN MAMAT menunjukkan dadah yang dibungkus dalam pek minuman daa sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi mengaburi dan mengelirukan pihak berkuasa, satu sindiket membungkus dadah jenis syabu dan ketamin menyerupai pek jus minuman.

Namun, pihak polis tidak mudah terpedaya dengan taktik tersebut apabila menahan seorang lelaki berusia 24 tahun antara pukul 2.30 hingga pukul 5 pagi di Taman Pelangi, di sini Rabu lalu.

 Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati pek-pek ‘jus syabu’ dan ketamin itu dijual pada harga RM250 di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa apartment mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif  dadah, namun semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak Mei lalu dan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain terlibat.

Dalam tangkapan itu, pihaknya merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM195,900, 153 gram (g) syabu (15,300), 276g ketamin (RM41,400), 759 biji pil Eramin 5 seberat 159g (RM11,925) dan 123 biji pil ekstasi seberat 37g (RM1,850).

Kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM266,375 itu boleh menampung bekalan bagi seramai 22,653 penagih.

Pihak polis turut menyita dua buah kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan seutas loket emas bernilai RM1,200 dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM116,300.

Suspek direman  tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan  jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman memberitahu,  sejak Januari hingga 24 Ogos lalu, pihak JSJN berjaya menahan seramai 9,366 individu dan merampas dadah sebanyak 2.59 tan yang bernilai RM16.62 juta.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya