KUALA LUMPUR: Penerbit, Raja Azmi menggesa pihak berwajib supaya memantau dan menyusun tarikh penayangan filem luar yang memasuki pawagam negara ini bagi mengelakkan berlaku pertindihan tayangan dengan filem tempatan.
Katanya, tindakan tersebut penting sebagai sokongan kepada filem tempatan, terutama bagi produksi yang baru ditayangkan di pawagam.
“Sejurus selepas pawagam dibenarkan beroperasi semula, banyak filem, sama ada luar atau dalam negara berpusu-pusu ditayangkan sehingga berlaku pertindihan tarikh tayangan.
“Saya rasa pihak bertanggungjawab perlu kaji semula penjadualan tayangan agar tidak berlaku pertindihan. Pada masa sama, memberi peluang kepada filem tempatan untuk ‘bernafas’ di pawagam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Raja Azmi juga menyeru masyarakat supaya terus memberi sokongan kepada filem tempatan bagi memastikan industri perfileman negara dapat terus bertahan dan berdaya saing.
“Saya tidak boleh salahkan pihak pawagam kerana mereka menjalankan perniagaan dan mahu menjana keuntungan.
“Tetapi, saya memohon kepada penonton agar tidak mengabaikan sokongan terhadap filem tempatan kerana mereka adalah penentu hidup dan mati industri perfileman kita.
“Berikanlah sokongan yang padu kepada filem tempatan seperti mana mereka berikan kepada filem luar. Sekurang-kurangnya filem kita dapat bersaing dan terus hidup,” katanya.
Raja Azmi sebelum ini terkilan dengan tindakan beberapa pawagam yang melebihkan-lebihkan filem luar berbanding produksi tempatan.
Ia susulan slot tayangan filem terbitannya, Jerangkung Dalam Almari terpaksa dihadkan untuk memberi laluan kepada filem seram dari Indonesia, Pengabdi Setan. –UTUSAN ONLINE