BUTTERWORTH: Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, satu lagi tarikan baharu mewarnai kawasan Seberang Perai di sini.
Hal ini kerana bermula malam tadi hingga malam 31 Ogos nanti, Jambatan Tunku Abdul Rahman yang menghubungkan kawasan Perai dan Bagan Dalam sejak hampir 60 tahun lalu kini ‘disimbahi’ cahaya berwarna-warni setiap malam.
Difahamkan, inisiatif pemasangan lampu limpah di jambatan tersebut adalah yang pertama di Seberang Perai buat masa ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dr. P. Ramasamy, lampu bercahaya sepanjang kira-kira 120 meter di jambatan itu tidak akan ditutup bagi memberi peluang kepada orang ramai bergambar dan bersiar-siar termasuk di kawasan rekreasi berhampiran iaitu Taman Kimsar.
“Ini adalah antara keunikan yang terdapat di kawasan Perai dan banyak lagi projek pembangunan sedang disusun untuk manfaat penduduk di sini.
“Antaranya projek pembinaan lima jeti yang akan dibuat secara berperingkat, menambah baik kawasan Peacock Park (taman merak), mengindahkan kawasan Sungai Perai termasuk membina platform di atas sungai dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir pada program ‘I Love Penang Walk’ di Eco Peacock Park, Taman Kimsar di sini sebelum merasmikan pembukaan lampu limpah berwarna-warni sempena merdeka di jambatan berkenaan. –UTUSAN ONLINE