PETALING JAYA: Jabatan Penjara menyangkal satu gambar tular yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghuni satu bilik khas dan dilengkapi pelbagai kemudahan di Penjara Kajang.
Perkara itu dijelaskan oleh satu hantaran Facebook jabatan itu hari ini dengan meminta menghentikan penyebaran maklumat palsu.
Dalam hantaran itu, jabatan itu memuat naik tangkap layar catatan yang disebarkan menunjukkan gambar sebuah bilik bersih dan luas dengan dilengkapi dengan rak dan meja dengan tajuk ‘Penjara untuk VIP’.
Semalam, media sosial dibanjiri dengan komen mengenai Najib dipercayai menerima layanan VIP di dalam Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.
Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.
Dengan keputusan itu, di akhir prosiding ini, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa serta-merta. –UTUSAN ONLINE