Integrasi nasional, perpaduan kunci keharmonian – Agong

Integrasi nasional, perpaduan kunci keharmonian – Agong

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum merupakan kunci keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perkara itu juga merupakan kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

Seri Paduka turut menzahirkan kesyukuran apabila perpaduan dan keharmonian rak­yat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang menginjak usia ke-65 tahun ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci tersebut, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap atau bersifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi,” titah baginda dalam perutusan khas, semalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 hari ini.

Titah Seri Paduka itu disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut mengingati rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap musuh dalam selimut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara.

“Segala fitnah dan hasutan mereka adalah bercanggah de­ngan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara yang merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan yang kukuh,” tegas baginda.

Seri Paduka turut mengimbau kembali lebih enam dekad apabila semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan di­idamkan menjadi sebuah realiti.

Rakyat juga diajak untuk mengingati dan menghargai pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan lebih enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini, nescaya rakyat akan dapat menghayati dan menghargai nilai semangat patriotisme kepada negara dan perpaduan sesama pelbagai bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya