Ibu kecewa anak lahir luar negara tidak diiktiraf warganegara - Utusan Malaysia

Ibu kecewa anak lahir luar negara tidak diiktiraf warganegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kebahagiaan yang saya dan anak-anak rasakan selepas berjuang hampir lapan tahun hanya sementara.”

Demikian luahan hati seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Priscilla selepas mendapat tahu keputusan Mahkamah Rayuan menolak kewarganegaraan untuk anak lahir luar negara oleh ibu warga Malaysia.

Priscilla yang mempunyai dua anak, masing-masing berusia 10 tahun dan 12 tahun berasa buntu kerana permohonannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diluluskan, namun, tidak sempat menerima dokumen pengesahan.

“Saya mula mohon kewarganegaraan anak-anak sejak 2015. Dua kali dan kedua-duanya gagal. Selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan keputusan bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia dalam soal kerakyatan anak-anak, saya rasa seperti ‘pintu syurga’ terbuka.

“Kini saya hilang kata-kata kerana permohonan saya yang terbaharu telah diluluskan tetapi dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini, apakah ia bermaksud saya perlu terus menanti? Anak-anak saya juga seakan tertekan kerana mereka sukar untuk faham mengapa tidak boleh menjadi warganegara sedangkan ibu mereka rakyat Malaysia dan mereka sebahagian besarnya membesar di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Priscilla yang menghidap kanser payu dara dan baru menjalani pembedahan berasa bimbang dengan hala tuju anak-anaknya sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya.

“Saya berkahwin dengan warga Perancis dan perkahwinan itu tidak kekal. Saya kembali ke tanah air bersama anak-anak saya kerana saya menganggap Malaysia sebagai rumah saya.

Sekarang, saya sakit dan anak-anak pula belum menjadi warganegara, sekiranya saya meninggal dunia, ke mana mereka boleh pergi?” soalnya dengan sedih.

Sementara itu, Presiden Family Frontiers, Suri Kempe mengharapkan supaya JPN tidak membatalkan permohonan ibu-ibu yang telah mendapat kelulusan berhubung permohonan berkenaan.

Malah, katanya, ada antara mereka yang membuat bayaran bagi pengurusan.

“Saya rasa mereka yang sudah mendapat surat dari JPN menyatakan mereka layak dan ada yang sudah membuat bayaran kepada JPN untuk dokumen kewargenegaraan anak mereka patut diberikan dokumen tersebut.

“Tidak adil ibu-ibu ini dibiarkan menderita dan menunggu lagi keputusan Mahkamah Persekutuan. Anak-anak mereka tidak sepatutnya menunggu lagi, semata-mata dilahirkan oleh ibu warga Malaysia, dan bukan bapa warga Malaysia,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga orang yang dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Md Said dan ahli panel Azizah Nawawi membenarkan rayuan oleh tiga perayu iaitu kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran.

Seorang lagi hakim S. Nantha Balan menyampaikan keputusan tidak bersetuju dan menolak rayuan kerajaan.

Seorang lagi ibu, Haifa Mubarak, 35, berkata, perjuangannya belum selesai dan dia masih tidak berputus asa untuk mendapatkan kerakyatan untuk anak kedua daripada empat anaknya.

“Hanya seorang anak saya yang lahir di Jeddah dan itu berlaku kerana saya tidak sempat balik ke Malaysia sebab anak sulung saya kena serangan asma dan terpaksa dimasukkan ke hospital di negara itu.

“Saya ada pergi bertanya pada Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, menerangkan keadaan saya dan ketika itu mereka mengatakan bayi yang bakal lahir itu boleh mendapat kewarganegaraan Malaysia walaupun dilahirkan di Jeddah.

“Sudah lapan tahun dan anak saya belum mendapat kerakyatannya. Dia juga selalu tanya pada saya mengapa dia berbeza dengan adik-beradiknya yang lain. Dia tidak patut menerima tekanan sedemikian,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya