SHAH ALAM: Hanya dua hari sahaja larangan menggunakan perkhidmatan p-hailing dikuatkuasakan di Hospital Sungai Buloh, kini, kakitangan dan pesakit bebas menggunakan perkhidmatan itu.
Pengarahnya, Dr. Kuldip Kaur Prem Singh dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan menarik balik larangan itu dibuat selepas mendapat maklum balas dan pandangan yang dikemukakan.
“Terima kasih diucapkan atas segala maklum balas dan pandangan yang dikemukakan.
“Pengurusan hospital akan kekal komited dan prihatin dengan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan kakitangan serta pesakit di hospital ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, pengurusan hospital mengeluarkan arahan menerusi memo mengenai larangan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian berkuat kuasa 9 Ogos lalu.
Bagaimanapun, memo tersebut tular dalam media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada penggunanya. –UTUSAN ONLINE