KUALA LUMPUR: Hobi membela haiwan akuatik kini menjadi ikutan apabila melalui hobi tersebut ia mampu membawa ketenangan diri kepada sang pembela selain membantu dalam menaikkan seri rumah sebagai hiasan.
Seorang peniaga ikan hiasan, Chong Siam Sim, 27, berkata, haiwan tersebut bukan sahaja boleh dijadikan hobi semata-mata tetapi turut membantu dalam mencapai ketenangan apabila dihimpit dengan tekanan hidup.
“Kedai ikan ini adalah warisan daripada ayah saya, dia mula menjual ikan sejak umur 17 tahun di sini dan sekarang sudah berumur 70 tahun, menjadikan kedai ini sudah berbakti selama 53 tahun kepada pelanggan.
“Terdapat seorang pelanggan kami menyatakan tekanan hidup akibat daripada kerja dan sebagainya hilang selepas melihat haiwan akuatik yang dibeli,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kedainya di Jalan Pasar di sini semalam.
Sependapat dengan pandangan itu, penyelia sebuah kedai ikan, Brad Low Von How, 36, berkata, sesiapa pun akan berasa tenang apabila melihat keadaan akuarium dengan keberadaan haiwan tersebut.
“Selain pelbagai jenis ikan, di Jalan Pasar ini terdapat juga kedai yang menjual haiwan akuatik seperti kura-kura dan udang galah. Pelanggan dapat mencari dan membeli pelbagai variasi ikan dengan harga yang berpatutan. Antara ikan yang popular ialah arowana, guppy, ikan emas, koi dan ikan laga. Terdapat juga, aquarium atau hiasan-hiasan lain dijual untuk pelanggan menghias sendiri akuarium mereka,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Pasar mendapati terdapat beberapa kedai yang menjual pelbagai variasi ikan yang ditawarkan kepada pelanggan daripada harga serendah RM3.50 hingga RM200 malah petua atau maklumat turut disalurkan kepada mereka agar ikan dibeli menepati citarasa.
Seorang pelanggan, Aminul Ariff Azmir Hisham, 26, berkata, dia sudah mula berjinak dengan pembelaan ikan sejak kecil dan tidak pernah bosan kerana variasi ikan tersebut yang pelbagai.
“Ikan ada macam-macam jenis, sesetengah orang membela untuk hiasan rumah tetapi ada juga yang menjadikan haiwan tersebut sebagai peneman hidup, apabila balik kerja kita boleh tengok akuarium untuk berehat.
“Membela ikan juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan jika tahu cara untuk melakukan proses pembiakan. Jadi di sini, banyak untungnya bukan sekadar hiasan semata-mata,” katanya.
Seorang lagi pengunjung kedai ikan, Thanakchai, 19, berkata, dia menjadikan ikan sebagai tempat untuknya meluahkan perasaan dan menghilangkan bosan.
“Apabila melihat ikan berenang-renang dalam akuarium, kita seolah-olah macam ikut sama dengannya. Terpukau erti kata lain, jadi rasa seronok di situ,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE