MELAKA: Tindakan seorang lelaki membuat hantaran jelik dalam media sosial terhadap anggota polis trafik ekoran tidak berpuas hati kerana disaman akhirnya berbalas apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Lau Siong Ping, 38, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar untuk membuat komen palsu dan jelik sifatnya, ‘#darkpolice’ bagi menyakitkan hati terhadap anggota polis trafik, Zia Azri Kamsani, 31, dan memulakan penghantaran dalam akaun tersebut.
Hantaran itu dibaca pada 4 Mac 2021 pukul 9 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat hantaran tersebut susulan tidak berpuas hati ekoran disaman oleh anggota berkenaan kerana kesalahan lalu lintas pada 3 Mac 2021.
Hantaran itu turut tular dalam laman sosial Facebook dan dikongsi oleh 147 pengguna lain.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan tanpa pensabitan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan hantaran itu dibuat dalam keadaan marah dan keluarganya juga tidak mengetahui mengenai sabitan kesalahan, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. –UTUSAN ONLINE