JOHOR BAHRU: Hasrat dua lelaki minum ‘tonik’ di sebuah rumah di Kangkar Tebrau, di sini semalam terbantut apabila lokasi tersebut diserbu polis.
Dalam serbuan pukul 5.30 petang itu, polis menahan lelaki berusia 25 dan 28 tahun selain merampas 110 bungkus plastik lut sinar berisi cecair yang disyaki air ketum.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan itu adalah hasil intipan dilakukan sejak tiga hari lalu.
Siasatan awal mendapati dua lelaki itu datang ke rumah berkenaan untuk minum air ketum tetapi malangnya mereka diberkas polis.
“Ketika serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, hanya dua lelai berada di lokasi, manakala tuan rumah tidak ada di rumah.
“Hasil serbuan turut merampas dua tong diisi 110 bungkus plastik berisi cecair disyaki air ketum. Setiap satu bungkus dianggarkan berisi satu liter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini
Dalam serbuan sama, polis merampas sebuah beg yang mengandungi 13 botol cecair disyaki ubat batuk seberat 1.2 liter.
Raub berkata, siasatan mendapati rumah tersebut dijadikan sarang untuk memproses, menjual dan minum air ketum yang beroperasi sejak sebulan lalu. – UTUSAN