Halalkan ketum, jana pendapatan penduduk Perlis  - Utusan Malaysia

Halalkan ketum, jana pendapatan penduduk Perlis 

ZAHIDI Zainul Abidin (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@Padang Besar di Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh Unimap di Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penduduk luar bandar mampu menjana pendapatan RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan hanya dengan lima batang pokok ketum jika tanaman itu  ‘dihalalkan’ untuk tujuan eksport.

Selain itu, pengeksportan daun ketum juga mampu menjana pendapatan besar buat negeri ini selain meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, beberapa agensi dadah dan perubatan antarabangsa sebelum ini telah menyatakan bahawa daun ketum dari Perak Utara, Kedah dan Perlis berkualiti terbaik dan berpotensi dieksport.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan meluluskan penanaman pokok ketum, ia bakal menjadi projek besar buat Perlis bagi mengubah landskap ekonomi penduduk negeri ini.

“Thailand boleh jana sekitar USD 1 bilion iaitu kira-kira RM4 bilion hasil eksport ketum dan bayangkan pihak lain yang dapat faedah ini sedangkan kajian dah tunjukkan tanaman daun itu di tiga negeri ini termasuk Perlis adalah yang terbaik.

“Selain itu, sekiranya tanaman daun ketum ini diluluskan, kita juga boleh laksanakan kempen supaya belia tidak lari ke bandar dan usahakan penanaman di sini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@Padang Besar di Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dilaporkan berkata, pindaan terhadap undang-undang membabitkan penggunaan ketum dan ganja perlu mengambil kira aspek penyalahgunaan dalam kalangan masyarakat sebelum sebarang penetapan dibuat.

Kata Azlan, pindaan undang-undang itu mungkin dilihat baik namun bagi tempoh masa panjang ia berkemungkinan akan memberi kesan buruk kepada masyarakat seperti mana berlaku di New Orleans, Amerika Syarikat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN