'Habuan' penjawat awam

‘Habuan’ penjawat awam

ISMAIL Sabri Yaakob melambai ke arah 5,000 penjawat awam yang memenuhi dewan utama Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk mendengar ucapan beliau dalam Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan berita gembira buat pen­­jawat awam dengan memperkenalkan enam inisiatif ba­ha­ru untuk golongan berkenaan bermula tahun depan.

Antara inisiatif tersebut ialah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tam­­bahan khas RM100 untuk 1.28 juta penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan meneruskan pemberian Bantuan Khas Ke­wangan (BKK) kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan ve­teran tidak berpencen yang di­bayar pada Januari 2023.

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Ismail Sabri Yaakob ketika me­ngumumkan perkara itu me­ne­gaskan, kerajaan sentiasa men­de­ngar keluh kesah anggota per­­­­khidmatan awam.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan di­seragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” ujarnya.

Perdana Menteri turut mengumumkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi award wang tunai (GCR) daripada 160 hari dinaikkan ke 180 hari .

Beliau berkata, kerajaan memahami beban tugas yang semakin besar dan mencabar menyebabkan ramai penjawat awam tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak.

“Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

“Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi,” katanya.

Turut diumum perluasan tafsiran bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat.

Kata Perdana Menteri, jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.

Kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

Kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam adalah antara tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini memandangkan sistem saraan sedia ada dilaksanakan sejak tahun 2002 dan tidak lagi sesuai.

Cuepacs sebelum ini me­minta kerajaan memberikan perhatian dalam sistem saraan baharu antaranya meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

“Saya menyeru penjawat awam yang bersama saya pada hari ini, sama ada di dalam dewan mahupun di luar, atau dalam talian untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia.

“Sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya dan yang pasti penjawat awam tidak akan dilupakan kerana saya yakin bahawa penjawat awam adalah tonggak aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya