BALING: Penduduk Kampung Iboi mendesak kerajaan negeri supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat segala permasalahan dan bencana banjir puing yang berlaku di Gunung Inas, di sini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI), Dr. Mohd. Syuhaimi Zakaria berkata, penubuhan RCI itu perlu dilakukan untuk melihat siapa yang bersalah atas berlakunya kejadian bencana tersebut.
“Kami inginkan daripada perhimpunan pada hari ini agar suara kami sebagai penduduk yang telah menjadi mangsa banjir didengari dan diberikan pembelaan yang sewajarnya, pembelot dan pengkhianat alam sekitar harus dengan segera diheret ke muka pengadilan.
TINDAKAN
“Hampir dua bulan kejadian ini berlaku, masih tiada tindakan konkrit dan jelas yang diambil oleh pihak-pihak terbabit sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Memerdekakan Gunung Inas di Jambatan Bailey, Kampung Iboi, Kupang, hari ini.
Lebih 300 penduduk dan juga pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir untuk menyatakan sokongan tersebut.
Menurut Mohd. Syuhaimi, perhimpunan itu diadakan agar pihak atasan mendengar rintihan dan suara penduduk kampung serta hak-hak mereka yang sekian lama diabaikan dan dibiarkan tanpa pembelaan.
“Kami mengemukakan lima asas desakan dan tuntutan suara kami iaitu dari segi keselamatan, ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan kesihatan.
“Hasil daripada lima faktor ini, kami mendesak kerajaan negeri supaya menubuhkan RCI untuk menyiasat dengan telus tentang segala permasalahan yang berlaku di Gunung Inas,” katanya.
Tambah beliau, mereka turut mendesak segala kertas kerja, surat kelulusan, laporan impak alam sekitar (EIA), perjanjian-perjanjian, hasil-hasil pembalakan kepada pemaju swasta dan negeri serta laporan-laporan agensi terlibat dibentangkan kepada masyarakat umum.
Katanya, sebagai penduduk dan mangsa banjir, mereka berhak mengetahui segala fakta-fakta tersebut memandangkan mereka yang menerima segala kesan buruk akibat pembangunan itu.
Mohd. Syuhaimi berkata, penduduk tidak menolak pembangunan dan pembalakan hutan, namun biarlah ia dijalankan secara mapan dan menjaga ekosistem alam dan masyarakat.
“Kami menentang segala pembangunan yang hasilnya hanyalah kepada mereka yang terpilih sahaja, sedangkan rakyat dan masyarakat yang menanggung derita.
“Kami dengan ini mendesak sekeras-kerasnya kepada pakar-pakar yang telah mengeluarkan laporan tentang punca banjir dan jaminan pada masa hadapan agar menyiasat dan mengkaji sebaik-baiknya sebelum mengeluarkan laporan yang mengelirukan penduduk,” katanya.
Katanya lagi, Memorandum Tuntutan dan Desakan Mangsa Banjir Puing Baling akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN