BALIK PULAU: Seorang pengawal keselamatan di sini menggunakan kreativiti tersendiri dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan menghias pagar dan persekitaran sekolah bertemakan kemerdekaan menggunakan botol mineral terpakai.
Roslan Mohd. Hashim, 59, mengambil masa hampir lapan bulan untuk menghias pagar dan kawasan luar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.
Roslan yang juga merupakan ahli Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sekolah itu berkata, dia mula mengumpul botol terpakai termasuk kayu dan besi selama dua bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Menurutnya, kerja-kerja menghias itu mengambil masa selama kira-kira dua bulan manakala botol-botol itu pula mula diwarnakan sejak awal tahun ini dengan dibantu guru-guru sekolah terbabit.
Tambahnya, bagi menjadikan hiasan itu lebih bermakna, botol-botol itu juga disusun dalam 15 peribahasa yang membawa maksud tertentu di sepanjang pagar luar sekolah.
“Saya juga menggunakan 644 botol bagi membentuk Jalur Gemilang dan Bendera Pulau Pinang selain 428 botol lagi untuk dekorasi bangunan ikonik Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Roslan, selain botol-botol mineral terpakai, dia turut menghasilkan ikon pelancongan Pulau Mutiara seperti Jambatan Pulau Pinang, Kereta Api lama Bukit Bendera, beca, bunga bakawali dan seterika arang menggunakan kayu dan besi terbuang.
Kesemua replika itu katanya, dihias di bulatan luar pintu masuk sekolah dengan hiasan Jalur Gemilang.
“Ini juga adalah kepuasan peribadi buat saya apabila dapat membantu pihak sekolah menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan pada tahun ini.
“Malah, saya menjadi lebih bersemangat dan teruja apabila ada murid-murid datang bertanyakan tentang perihal kemerdekaan negara dan peribahasa yang saya hasilkan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK Sungai Batu, Rosli Ab. Rahman melahirkan rasa bangga dengan usaha dan semangat Roslan yang ternyata dapat memberi manfaat kepada murid-murid sekolah.
“Pihak sekolah juga menyokong penuh hasil kreativiti yang dihasilkannya sebagai bahan pendidikan yang interaktif untuk murid-murid sekolah,” jelasnya. –UTUSAN