GUA MUSANG: Kira-kira 20 pelanggan yang menjamu selera nyaris maut selepas sebatang pokok kelampayan tumbang menghempap sebuah gerai sebelum terbakar dalam kejadian di Kampung Kala Baru, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, semua mangsa berjaya keluar dari gerai berkenaan untuk menyelamatkan diri.
Seorang saksi, Mohd. Noor Pa’su, 66, berkata, ketika kejadian dia bersama pelanggan lain sedang menikmati hidangan mi celup di gerai berkenaan.
Menurutnya, semasa kejadian difahamkan ada seorang penduduk kampung sedang melakukan kerja penebangan pokok berusia 30 tahun itu yang terletak di belakang gerai tersebut.
“Saya dan pelanggan lain terus lari selepas mendengar dentuman pokok tumbang yang telah menghempap bahagian dapur gerai.
“Tidak lama kemudian, kami lihat bahagian dapur berasap dan kemudian berlaku kebakaran sebelum merebak ke bahagian lain. Saya sempat menjerit kepada pelanggan lain untuk mengalihkan beberapa buah motosikal dan kereta yang berhampiran lokasi ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, suami pemilik kedai, Harun Che Tengah, 57, berkata, dia mengetahui kejadian terbabit melalui WhatsApp.
Katanya, dia bagaimanapun lega apabila tiada kemalangan jiwa berlaku semasa gerai milik isterinya Asmah Muhammad, 37, terbakar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada pukul 12.39 tengah hari.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.20 tengah hari. Operasi ditamatkan pada pukul 1.31 petang selepas semua kawasan tersebut disahkan selamat,” ujarnya.- UTUSAN