FAMA bawa 82 usahawan buah, buka 99 gerai - Utusan Malaysia

FAMA bawa 82 usahawan buah, buka 99 gerai

ORANG ramai berpeluang membeli pelbagai jenis buah-buahan di Castle of Fruits di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung sekarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa sebanyak 82 usahawan dan 99 gerai di bawah Castle of Fruits melalui Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, Castle of Fruits yang berlangsung di Laman Tiba 1, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bukan sahaja menjual buah-buahan tetapi turut memberi input-input lain kepada pengunjung.

Kata beliau, melalui program di bawah kelolaan FAMA, agensi tersebut menyasarkan jualan sebanyak RM4 juta sepanjang MAHA 2022 berlangsung iaitu 11 hari penganjuran.

“Dari segi prestasi, untuk hari pertama penganjuran kali terakhir MAHA iaitu pada 2018 berbanding dengan hari pertama penganjuran MAHA tahun ini, ia meningkat sebanyak 34 peratus dari segi jualan.

“Malah, perbezaan nilai jualan pada hari pertama dan kedua untuk MAHA tahun ini, kita lihat peningkatan sebanyak 73 peratus jualan. Ini menunjukkan pengunjung tidak putus untuk hadir.

“FAMA sasarkan sehari 10,000 pengunjung tetapi pada hari pertama agak kurang kerana hanya mencapai 6,500 pengunjung, walau bagaimanapun hari kedua mencapai 11,000 dan untuk hari ketiga kira-kira lebih 20,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Abdul Rashid
Bahri

Jelasnya, statistik dan dapatan tersebut menunjukkan dakwaan di dalam satu video yang tular bahawa MAHA kali ini tidak ramai pengunjung dan seolah-olah peniaga menghadapi kerugian kerana tidak dapat melakukan aktiviti penjualan adalah tidak benar.

“Saya difahamkan peniaga itu membuat video sedemikian atas tujuan pemasaran dan ia dirakam pada pukul 11 malam, sedangkan MAHA hanya buka dari 10 pagi hingga 10 malam sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga buah-buahan, Mohd Faizal Omar, 35, berasa teruja apabila melihat pengunjung tidak putus hadir ke Castle of Fruits.

“Operasi perniagaan saya di MAHA untuk hari ketiga ini alhamdulilah berjalan dengan sangat baik sebab pengunjung lebih ramai datang.

“Saya berpendapat program MAHA ini amat baik untuk peniaga seperti saya kerana kita dapat mempromosikan buah-buahan tempatan di samping membuat jualan. Ini juga pertama kali saya menyertai program ini dan jualan amat memberasangkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya