IPOH: Hari Kebangsaan 2022 di Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini disambut meriah dengan kelahiran dua bayi merdeka hari ini.
Dua bayi tersebut iaitu seorang bayi perempuan dan seorang bayi lelaki masing-masing dilahirkan secara normal dan pembedahan di wad bersalin hospital itu hari ini.
Seorang daripada wanita yang melahirkan bayi perempuan pada Hari Kebangsaan hari ini, Thoe Chui Yan berkata, bayi yang dilahirkan itu adalah anak pertama bersama suaminya, Khor Sen Yang.
Menurutnya, dia gembira kerana anaknya itu lahir dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan.
Bayi perempuan Chui Yan seberat 2.65 kilogram dilahirkan secara normal.
“Saya amat bersyukur kerana isteri saya telah selamat melahirkan bayi pertama kami dan kami tidak sabar untuk pulang dan meraikan bersama keluarga tercinta.
“Terima kasih kepada doktor dan semua staf KPJ Ipoh yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping meraikan kelahiran bayi kami dalam suasana kemerdekaan yang begitu meriah,” kata Sen Yang.
Sementara itu, pihak pengurusan KPJ Ipoh turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama pelanggan-pelanggan yang datang di KPJ Ipoh untuk tujuan mendapatkan rawatan.
Pihak hospital mengedarkan Jalur Gemilang yang direka sebagai biskut.
Selain itu, para pelawat juga turut berkongsi perasaan dan semangat patriotisme mereka dengan menampal nota dan pesanan di ruang legar KPJ Ipoh. –UTUSAN