JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam keadaan terdesak untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Bersatu Johor, Datuk Sahruddin Jamal berkata, desakan Ahmad Zahid itu ekoran kebimbangan sekiranya UMNO akan terus ditolak rakyat akibat pelbagai kluster yang terdapat di dalamnya.
Menurut beliau, sejak Presiden UMNO itu memegang jawatan berkenaan pada Jun 2018, ini pertama kali Ahmad Zahid dilihat dalam keadaan sangat terdesak.
“Beliau sanggup menekan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO agar PRU15 disegerakan dengan alasan UMNO dan BN akan tewas jika dilengahkan.
“Ahmad Zahid turut mendakwa seteru UMNO ‘menyerang’ parti tersebut menggunakan pelbagai persepsi atau isu kononnya untuk menggugat keyakinan akar umbi. Walhal sebenarnya, UMNO kini tidak tertanggung dengan persepsi atau isu yang telah ditimbulkan oleh kumpulan kluster dalam parti terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong mendakwa, tidak mustahil banyak lagi skandal melibatkan UMNO akan terdedah dan parti itu tidak dapat menanggung permasalahan yang timbul.
Menurut Sahruddin, tindakan Presiden UMNO dan juga kumpulan kluster yang terdapat dalam parti itu tidak akan dapat mengubah persepsi rakyat secara umumnya yang merasakan parti berkenaan telah rosak.
“Desakan kepada kerajaan agar menyegerakan PRU jelas mencerminkan UMNO hanya sibuk untuk berebut kuasa, sekali gus tidak cakna dengan keadaan rakyat yang terhimpit dengan cabaran semasa.
“Rakyat perlukan pembelaan daripada kerajaan untuk kembali pulih selepas terjejas sosioekonomi. Sedarlah bahawa rakyat semakin celik politik, usahlah manipulasi situasi dengan menyalahkan pihak lain kerana kebimbangan UMNO sendiri yang kian rebah akibat kelakuan tidak bermoral kumpulan kluster terbabit,” jelasnya.- UTUSAN