CAP gesa KKM haramkan bedak bayi berasaskan talkum  - Utusan Malaysia

CAP gesa KKM haramkan bedak bayi berasaskan talkum 

SYARIKAT Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023 -GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan bedak bayi berasaskan talkum import dan yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan selaras dengan pemberhentian secara sukarela penjualan bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia oleh syarikat Johnson & Johnson bermula tahun depan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, KKM perlu melaksanakan larangan itu berkuat kuasa serta-merta berbanding menunggunya sehingga tahun depan.

“Stok produk sedia ada yang mengandungi talkum hendaklah dikembalikan semula kepada pengilang masing-masing untuk mendapatkan semula bayaran balik.

”Larangan penggunaan talkum dalam produk juga perlu digunakan pada produk lain seperti pemerah pipi, bedak asas, concealer, pembayang mata, bedak muka, maskara, celak, pensel kening, dan gincu yang mengandungi bahan karsinogen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, Johnson & Johnson akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia kerana mereka  terlibat dengan beribu-ribu tindakan undang-undang keselamatan pengguna.

Malah, katanya, Johnson & Johnson menghentikan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) lebih dua tahun lalu.

”Kajian oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS mendapati talkum mengandungi kesan serat seperti asbestos yang diketahui menyebabkan kanser dan tumor, malah, baru-baru ini ia juga dianggap karsinogenik,” katanya.

Tambahnya, situasi itu sepatutnya menjadi alasan untuk mengharamkan penggunaan talkum lebih awal.

Dalam pada itu, katanya, zarah talkum mampu bergerak sehingga ke sistem reproduktif dan terbenam ke dalam lapisan ovari. 

”Penyelidik mendapati zarah talkum dalam kanser ovari dan mereka juga mendapati wanita yang menghidap kanser ovari menggunakan bedak talkum di kawasan kemaluan mereka lebih kerap daripada wanita yang sihat,” katanya.

Selain itu, Mohideen berkata, CAP juga menasihatkan para pengguna tidak menggunakan produk yang mengandungi talkum termasuk bedak talkum, kosmetik talkum atau magnesium silikat dalam ramuannya. 

”Terdapat bedak bayi berasaskan tepung jagung, serbuk beras (bedak sejuk), atau pokok lidah buaya sebagai alternatif yang lebih selamat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya