PUTRAJAYA: Kerajaan terbuka menerima cadangan pelbagai pihak namun proses kelulusan bagi perkara yang dikemukakan akan melibatkan pelbagai agensi sebelum dimuktamadkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, beliau sedia menerima semua syor untuk diberi pertimbangan termasuk cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar Cuti Rehat Khas (CRK) ditambah dari 10 hari kepada 14 hari.
“Bagaimanapun, nama pun cadangan dan ia belum tentu lagi ditolak atau diluluskan kerana keputusan akhir perlu dimuktamadkan oleh banyak pihak,” kata beliau selepas melancarkan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT (2019-2023) di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.
Rabu lalu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang mencadangkan CRK ditambah kerana kali terakhir golongan pendidik menikmati perubahan itu lebih empat tahun lalu.
Menurut beliau, setakat ini beliau tidak dapat memberikan komen mengenai isu tuntutan tambahan cuti berkenaan kerana masih lagi terlalu awal.
“InsyaAllah, sekiranya ada maklumat terbaharu kelak, saya akan maklumkan kerana setakat ini cadangan itu hanya diketahui menerusi laporan daripada media sahaja,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau tidak menolak saranan NUTP itu sedang diperhalusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diselaraskan dengan semua perkhidmatan awam termasuk guru di seluruh negara.
Tambahan pula, tugas pendidik pada masa ini dilihat mencabar berbanding penjawat awam lain kerana mereka bertugas dalam tempoh agak lama termasuk di luar waktu sekolah.
Ketika ini terdapat seramai 416,743 guru yang melibatkan 10,220 buah sekolah dari peringkat rendah dan menengah di seluruh negara dengan bilangan murid berjumlah 4,987,401 orang.- UTUSAN