TEMERLOH: Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid diminta membuktikan dakwaan lebih 400 sekolah pondok berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Ikatan Ilmuan Al Sunnah wal Jamaah Pahang (ISLAMI Pahang), Yunan Abdul Samad berkata, tuduhan berat itu perlu dikemukakan dengan fakta kerana kesannya boleh menjejaskan reputasi sekolah pondok.
Menyanggah perkara itu, beliau yang juga pendakwah bebas menyifatkan ia kenyataan ‘tidak bijak daripada orang cerdik’ yang tahu implikasi terhadap program dakwah negara.
Tegasnya, Pengerusi MDN itu perlu membuktikan tuduhan beserta kajian bagi memastikan dapatan yang diperolehi boleh dipercayai dan tidak dipersoalkan khalayak.
“Apa method atau kaedah kajian yang digunakan oleh Dr. Mahmood Zuhdi sehingga dapat simpulkan sesuatu yang menyalahi keadaan sebenar di lapangan yang bertentangan.
“Wujudkah kenyataan daripada pihak polis yang menggolongkan pondok sebagai tempat penyebaran fahaman ekstrimis?,” soalnya di sini semalam.
Baru-baru ini, Mahmood Zuhdi dilaporkan berkata, lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajar.
Pengerusi MDN itu berkata, paling membimbangkan sekiranya sesebuah institusi dibiar tanpa pemantauan daripada pihak kerajaan.
Mengulas lanjut, Yunan berkata, kenyataan dibuat Mahmood Zuhdi juga bertentangan dengan pihak berkuasa keselamatan bahawa sekolah pondok bukan tempat mendidik fahaman pelampau.
Ini kerana ujarnya, bekas Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada 2016 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menegaskan bahawa, institusi pondok di negara ini selari dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang lebih sederhana berbanding fahaman lain seperti syiah dan wahabi.
Tegas Yunan, amalan sekolah pondok jelas tidak membenarkan pelajarnya terlibat dengan kumpulan yang mengancam keselamatan negara.
“Jika ada terlibat, itu sikap individu yang tidak dapat dielak. Sebagai contoh, mendakwa orang tabligh mengabaikan anak isteri, itu kenyataan tidak tepat. Kalau pun ada sebilangan yang bersikap demikian, ia tidak mewakili kumpulan besar,” katanya.
Beliau dalam pada itu mempersoalkan kewajaran Mahmood Zuhdi mengasaskan institusi Pertubuhan Pondok Perdana jika pondok menjadi tempat penyebaran ekstremisme.
“Saya juga boleh buat andaian tujuan tersebut agar sekolah-sekolah pondok di seluruh negara bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pondok Perdana.
“Kalau andaian saya ini disiarkan di media cetak ia adalah kenyataan tidak bertanggungjawab kerana tidak diiringi dengan fakta. Demikian kenyataan juga kenyataan Mahmood Zuhdi sekolah pondok tempat penyebaran ekstremisme, ia tidak berlandaskan fakta,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE