Berakit susur Sungai Kuala Betis bawa Jalur Gemilang -

Berakit susur Sungai Kuala Betis bawa Jalur Gemilang

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kuala Betis di RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG:  Seramai 200 peserta menyertai aktiviti berakit membawa bendera Jalur Gemilang menyusuri Sungai Peragat ke Sungai Kuala Betis di perkampungan Orang Asli, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.

Program anjuran Kelab Rukun Tetangga (KRT) RPS Kuala Betis bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dalam kalangan 22 KRT di daerah ini.

Pengerusi KRT Kuala Betis, Mohd. Farhan Abdullah, 32, berkata, program berakit itu menggunakan 50 buah rakit buluh sejauh 12 kilometer yang mengambil masa dua jam.

Menurutnya, program tersebut merupakan kali ketiga melibatkan ahli KRT, masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan badan bukan kerajaan (NGO)

“Selain membangkitkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan, program ini mampu memberi kesan positif kepada sektor pelancongan tempatan.

“Kita berharap wakil kerajaan atau korporat dapat mempromosikan aktiviti berakit di Sungai Kuala Betis yang kurang mendapat sambutan meskipun ia berdekatan dengan kampung Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Semarak Merdeka Bamboo Rafting 2022 di RPS Kuala Betis di sini hari ini.

Seorang peserta Orang Asli, Lliliani Renemjon Sarol, 20, berkata, masyarakat Orang Asli gembira apabila kawasan kampung mereka terlibat dalam program sempena Hari Kebangsaan.

Katanya, dia bersemangat untuk menyertai aktiviti berakit sempena Hari Kebangsaan.

“Kita melihat peserta bersemangat dan bekerjasama bagi mengendalikan rakit mereka daripada tenggelam dan hanyut.

“Kita mahu program sebegini diteruskan. Ia juga merupakan satu cara agar Orang Asli tidak dipinggirkan terutamanya ketika sambutan Hari Kebangsaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, program berakit itu dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat Orang Asli dengan masyarakat luar.

Katanya, selain menikmati keindahan semula jadi di kawasan kampung Orang Asli, peserta yang terlibat juga diberi pendedahan berkaitan tempat dan sejarah perkampungan Orang Asli. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya