KLANG: Bukan kibar bendera, atau hias rumah dengan Jalur Gemilang, tetapi senjata api menjadi pameran, seolah-olah menggambarkan situasi perang yang pernah dilalui negara ini ketika zaman penjajahan.
Itu yang dilakukan oleh Kamarul Sham Idris bersama keluarganya apabila menjadikan minat bertukang sebagai cara untuk menterjemahkan rasa cintakan negara dengan menghasilkan replika senjata api.
Lebih menarik, replika senjata api dihasilkan itu bukanlah jenis digunakan pada peperangan era kolonial, sebaliknya ketika penjajahan Portugis terhadap Melaka tahun 1511 yang menjadi pertahanan askar Melayu pada waktu itu seperti istinggar, pemuras, terakol dan sebagainya.
Kamarul Sham yang dikenali sebagai Kem, 45, berkata, tujuannya menghasilkan replika senjata sedemikian adalah untuk mengingatkan semula kepada masyarakat terutama generasi muda mengenai peralatan perang yang pernah digunakan oleh orang Melayu suatu ketika dahulu.
“Bukan setakat keris, tombak atau parang, replika itu pun saya ada juga. Tetapi senjata api seperti istinggar, pemuras, terakol dan sebagainya, itulah senjata alam Melayu yang pernah digunakan dahulu. Mungkin ramai yang tidak tahu.
“Betapa tingginya peradaban masyarakat kita suatu ketika dahulu sehingga senjata-senjata canggih sedemikian digunakan dalam peperangan. Justeru, generasi sekarang kena tahu, kita memang sudah ada jati diri dan itulah yang perlu dibentuk dan dipertahankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, minatnya terhadap persenjataan Melayu bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila masa terluang di rumah dimanfaatkan dengan menelaah sejarah, teknikal dan mekanikal persenjataan.
Malah, beliau yang merupakan usahawan perabot itu memberitahu, budaya ‘koboi’ di Texas, Amerika Syarikat menjadi titik tolak kepada minatnya terhadap senjata api sebelum meneroka peralatan-peralatan perang yang pernah digunakan oleh orang Melayu.
“Ketika PKP, tak boleh keluar rumah, masa itulah saya gunakan melayari internet, buka macam-macam website. Akhirnya saya belajar membuat senjata menggunakan kotak, paip plastik dan kayu. Saya tak gunakan besi sebab itu menyalahi undang-undang.
“Saya belajar tentang kecanggihan senjata, saya tiru sebiji-sebiji sama macam internet dari segi bentuk, warna dan mekanika. Cuma tak boleh tembak, sebab kertas sahaja. Tetapi akhirnya saya pamerkan kepada umum dalam pelbagai karnival yang disertai,” ujarnya.
Kata Kem lagi, tujuan pameran adalah untuk menunjukkan dan mendidik tentang kebudayaan orang Melayu dalam dunia persenjataan.
“Menunjukkan walaupun negara merdeka daripada jajahan British melalui rundingan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, bukan bermakna orang Melayu tidak mahir dalam persenjataan dan peperangan.
“Justeru, bila menyertai pameran akhirnya ramai orang terutama kanak-kanak dapat melihat walaupun bukan senjata sebenar tetapi mereka faham sedikit sebanyak tentang sejarah senjata api dalam masyarakat Melayu,”
Tambahnya, walaupun baru hampir dua tahun kini banyak menerima tempahan untuk pameran dan kegunaan seperti dalam lakonan teater, persembahan pelajar di sekolah dan sebagainya. –UTUSAN ONLINE