Beli bendera guna duit jual barang kitar semula - Utusan Malaysia

Beli bendera guna duit jual barang kitar semula

SUHAIMI Bulat berbasikal dari Bukit Palah ke Bukit Baru, Melaka untuk membeli Jalur Gemilang menggunakan pendapatan hariannya sebagai pengutip barangan terpakai. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keterujaan untuk menyambut Hari Kebangsaan kali ke-65 tahun ini jelas terpancar pada wajah seorang pengutip barangan terpakai, Suhaimi Bulat apabila dia sanggup menggunakan keseluruhan pendapatan hariannya sebanyak RM20 hasil untuk mendapatkan Jalur Gemilang.

Suhaimi, 51, berkata, sambutan kemerdekaan tahun ini amat berbeza baginya memandangkan sudah hampir dua tahun kemeriahan itu tidak dapat dirasakan berikutan pandemik Covid-19.

“Sudah jadi kebiasaan bagi saya untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebanyak yang boleh apabila tiap kali tibanya bulan Ogos. Saya akan beli bendera setakat termampu dengan pendapatan harian saya, hasil daripada jual kotak dan sebagainya.

“Hari ini setelah dapat hasil kira-kira RM20, saya nak ke Bukit Baru naik basikal untuk beli bendera.

“Walaupun tak berpendapatan tinggi seperti kebanyakan orang lain, ia bukanlah penghalang untuk saya mempamerkan semangat patriotik dengan membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia berhampiran Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, semalam.

Tambah Suhaimi, kehadiran Ogos juga memberi seribu makna buatnya berikutan dapat menambah pendapatan dengan menawarkan khidmat memasang bendera di pelbagai premis terutamanya kediaman orang ramai.

“Dapatlah tambah pendapatan bulanan saya sedikit sebanyak selain bantuan diterima daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), cukuplah untuk menyara kehidupan saya yang sebatang kara,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya