KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia hari ini.
Abdul Halim meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada pukul 3.40 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
“Allahyarham merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan khususnya sebagai antara tokoh penting bermula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.
“Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula 1990 sehingga 2004. Berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggol 1986-1995, ADUN Kijang 1995-2004 dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 2004-2013,” katanya.
Ahmad memberitahu, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Abdul Halim.
Katanya, beliau mendoakan agar Allahyarham diangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. –UTUSAN ONLINE