Bekas kem PLKN di Melaka terbiar, infrastruktur dirobohkan -

Bekas kem PLKN di Melaka terbiar, infrastruktur dirobohkan

KEADAAN pagar dan papan tanda Kem PLKN Warisan Masjid Tanah, Melaka yang rosak dan dinaiki semak-samun. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majoriti lokasi kem yang pernah digunakan untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini berada dalam keadaan terbiar dan tidak terurus, malah, terdapat juga infrastruktur yang sudah dirobohkan dipercayai untuk tujuan pembangunan lain.

Utusan Malaysia difahamkan, rata-rata kem berkenaan terletak di tanah milik persendirian dimiliki oleh syarikat atau orang perseorangan.

Tinjauan di Kem PLKN Warisan Masjid Tanah dekat sini mendapati, kawasan sekitar dipenuhi semak samun manakala bangunan dan kemudahan di Kem PLKN Putra-Putri di Taboh Naning, Alor Gajah di sini pula telah dirobohkan.

KEM PLKN Putra-Putri di Alor Gajah, Melaka hanya tinggal pintu pagar utama selepas pemilik tanah merobohkan infrastruktur kem berkenaan pada 2018. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Seorang penduduk kampung berhampiran, Faizal Md. Daud, 39, berkata, Kem PLKN Putra-Putri telah lama dibiarkan kosong sejak 2018, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan program berkenaan.

Katanya, pemilik tanah merobohkan hampir keseluruhan infrastruktur yang ada di kawasan tersebut dipercayai bagi tujuan pembangunan lain dalam masa terdekat.

“Tiada apa yang tinggal di kem PLKN ini kecuali pintu pagar utama. Kawasan yang dahulunya penuh dengan infrastruktur kini menjadi tanah lapang selepas pemilik mengosongkan kawasan itu pada 2018.

“Saya pernah lihat beberapa buah lori keluar dan masuk membawa sisa-sisa kayu dan peralatan yang digunakan kem berkenaan. Tiada siapa yang menjaga kawasan tersebut kecuali beberapa pekerja pemilik tanah yang tinggal di situ,” katanya ketika ditemui.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebahagian 62 pengusaha kem PLKN yang dimansuhkan pada 2018 mufis manakala yang lain menunggu tindakan bankrap selepas menanggung beban hutang yang besar akibat pemansuhan program tersebut.

Situasi berlaku apabila pemilik kem terbabit gagal menjelaskan hutang bank selepas melabur sehingga RM12 juta untuk menyediakan sebuah kem untuk dijadikan pusat latihan kepada program yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Februari 2004.

FAIZAL MD. DAUD

Dianggarkan, RM984 juta dibelanjakan untuk membina keseluruhan 82 kem PLKN di seluruh negara
yang kini sebahagian besarnya menjadi projek ‘gajah putih’ walaupun ada usaha daripada kerajaan untuk ‘menghidupkannya’ semula dengan menyewakan kem tersebut kepada pihak lain.

Secara keseluruhan, terdapat empat kem PLKN yang pernah beroperasi di Melaka iaitu Kem PLKN Warisan Masjid Tanah, Kem PLKN Putra-Putri Taboh Naning, Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh dan Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang Asahan.

Untuk Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, lokasi berkenaan telah ditukar status kepada Usima Forest Resort oleh pemiliknya.

Difahamkan, resort berkenaan merupakan penyedia khidmat kem motivasi dan masih beroperasi sehingga kini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya