SEREMBAN: Lokasi bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Negeri Sembilan juga tidak terkecuali berada dalam keadaan terbiar dan tidak terurus.
Tinjauan Utusan Malaysia di Kem PLKN Karisma, Juasseh, Kuala Pilah mendapati lokasi berkenaan kini terbiar dan dipenuhi dengan semak samun manakala bangunan di kem tersebut juga kelihatan usang dan rosak.

Difahamkan oleh penduduk, selepas PLKN dimansuhkan 2018, tapak kem tersebut memang terbiar dan tidak digunakan untuk sebarang aktiviti.
Tinjauan seterusnya dilakukan ke Kem PLKN PDS Resort, Kampung Telok, Pasir Panjang, Port Dickson dan mendapati hanya yang tinggal adalah tanah lapang dan semak samun.
Bagaimanapun masih terdapat kesan jubin yang membuktikan kawasan itu pernah didirikan bangunan dan kemudahan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Telok, Mehat Abdullah berkata, tapak tanah kem tersebut adalah dimiliki oleh orang persendirian.
“Saya difahamkan tanah tersebut disewa oleh pengendali kem tersebut sebelum ini daripada pemilik tanah. Kemudian pengendali kem berkenaan berpindah ke tempat lain.
“Selepas PLKN dimansuhkan, kem tersebut terus terbiar dan kemudian pengendali kem ada menjual kayu-kayu bangunan di situ kepada penduduk kampung. Kemudian, kawasan berkenaan dibersihkan dan kini menjadi tanah lapang,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di bekas Kem PLKN Seri Perkasa, Mantin di sini mendapati ia telah dijadikan sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Jabatan Penjara Malaysia. –UTUSAN ONLINE