PETALING JAYA: Kedegilan peniaga kedai makan menurunkan harga jualan seiring dengan penurunan harga bekalan di pasaran perlu dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada caj yang melampau-lampau.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tiada gunanya mengubah dasar atau menurunkan harga sekiranya masih ada pihak yang berdegil dan menekan pengguna.
Katanya, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melakukan operasi terhadap peniaga-peniaga tersebut sebagai tanda betul-betul melawan kenaikan harga melampau.
“Apa gunanya dasar baharu dan menurunkan harga? Sekiranya masih ada pihak yang sewenang-wenangnya menaikan harga serta tamak dalam mendapatkan keuntungan semata-mata.
“Mana pergi pasukan jihad? Kerajaan perlu keluarkan syarat dan amaran sekeras-kerasnya menentang kenaikan yang dilakukan oleh peniaga-peniaga itu, gesa mereka mencari harga sesuai untuk pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, harga ayam semakin menurun dan boleh didapati dibawah harga siling iaitu RM9.40 sekilogram ekoran lambakan bahan mentah itu di dalam pasaran selepas kerajaan membekukan aktiviti eksport bagi memastikan bekalan dan harga dalam negara stabil.
Bagaimanapun, masih terdapat peniaga-peniaga yang menekan pengguna dengan memberi harga ‘cekik darah’ walaupun harga bekalan semakin menurun.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, pengguna perlu menggunakan ‘kuasa’ mereka Kembali seperti mana ketika menentang kenaikan harga ayam yang mendadak sebelum ini.
Jelasnya, penurunan harga ayam sehingga ada peniaga menjual pada RM6 sekilogram adalah bukti kejayaan tentangan pengguna dalam mendesak segelintir peniaga yang sesuka hati mengenakan caj mahal.
“Sekiranya pengguna mendapati harga kedai makan itu terlampau mahal dan mereka tidak mahu menurunkan harga, jadi jangan pergi ke sana atau berhenti seketika. Kita ajar peniaga itu dengan kuasa pengguna.
“Pengguna boleh menentukan turun naiknya harga sesuatu barangan atau perkhidmatan. Seperti dahulu pengguna menularkan kedai-kedai yang mengenakan caj mahal dan akhirnya kedai makan itu sendiri menerima padah,” katanya. –UTUSAN ONLINE