KOTA BHARU: Semua struktur bangunan awam terutama sekolah di seluruh negeri perlu ‘diaudit’ bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti tangki air pecah kembali berulang pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, kebanyakan bangunan sekolah yang ada ketika ini sudah lama dan perlu diperiksa dengan teliti bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Kalau ada bangunan lama yang sudah tidak selamat, pihak sekolah perlu melaporkan segera perkara tersebut.
“Usaha ini bagi mengelakkan insiden tangki air pecah tidak kembali berulang pada masa akan datang kerana ia melibatkan soal keselamatan,” katanya semasa turun padang melawat empat pelajar SMK Melor yang menjadi mangsa tangki air pecah di Kampung Tasik Sri Kulim, Melor di sini hari ini.
Empat pelajar terbabit ialah Ilham Nur Mariam Mohd. Hassan; Nurul Syafiqah Ayuni Mohd. Azhar; Dhia Insyirah Mohd. Fakhrul Izwan dan Nuramira Shahira Mohd. Adnan.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, pihaknya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat membantu membuat pengauditan berkait perkara ini.
Katanya, JKR mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam meneliti keselamatan sesebuah bangunan. –UTUSAN ONLINE