PASIR PUTEH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, di sini mengambil pendekatan berbeza iaitu melatih pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mereka dengan aktiviti perkhemahan bagi mengenal erti jati diri.
Penolong Kanan PPKI, Nik Mud Nik Him berkata, jati diri itu diterjemahkan menerusi semangat saling hormat menghormati, berdisiplin dan patuh kepada arahan pemimpin sepanjang tiga hari perkhemahan berkenaan.
“Selain itu, mereka turut didedahkan dengan cara-cara membina khemah tradisional dan mengikuti aktiviti meredah hutan dengan pengawasan jurulatih bertauliah.
“Bila kita berikan pendedahan dan kepercayaan kepada mereka, saya lihat para peserta mampu melaksanakan dengan baik apa yang diajarkan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan mereka mempunyai jati diri yang kuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nik Mud memberitahu, perkembangan itu menunjukkan pelajar PPKI mampu melangkah lebih jauh jika diberikan ruang dan peluang oleh golongan ibu bapa.
Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini tidak perlu takut sebaliknya perlu terus memberikan sokongan supaya mereka mampu menjalani kehidupan seperti individu normal yang lain.
“Mengambil semangat ulang tahun kemerdekaan negara ke-65, kita turut menyelitkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan mereka. Saya mahu mereka turut sama mempunyai tanggungjawab pada negara.
“Kita pilih perkhemahan ini kerana mahu melihat sejauh mana mereka mampu berdikari. Alhamdulillah, setiap tanggungjawab dan amanah yang diberikan mereka mampu pikul dengan baik,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE