Aksi mat rempit berlumba haram akan dirakam untuk tindakan - Utusan Malaysia

Aksi mat rempit berlumba haram akan dirakam untuk tindakan

– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kegiatan mat rempit yang berlumba secara haram kini akan dirakam menerusi kamera pihak berkuasa sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, pendekatan itu merupakan antara cara baharu yang diambil oleh pihak berkuasa untuk membendung kegiatan mat rempit dan dalam masa sama keselamatan pengguna jalan raya yang lain turut dapat dipelihara.

ISHAM ISHAK

Katanya, sebelum ini pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan berada di lapangan untuk melakukan ‘serang hendap’ terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan mat rempit.

”Namun, cara ini membahayakan anggota penguat kuasa serta mereka yang berada di lokasi-lokasi berhampiran dengan kegiatan lumba haram ini.

”Kita ambil pendekatan secara defensif iaitu menggunakan kamera untuk melihat dan memperoleh gambar suspek yang terlibat. 

“Selepas itu, polis akan menahan suspek sama ada di rumah atau di premis tempat kerja mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

Menurut Isham, golongan muda yang terjebak dengan aktiviti lumba haram dinasihatkan berhenti daripada melakukan kegiatan itu memandangkan kerajaan telah mengambil langkah bersepadu untuk menangani isu mat rempit.

”Anak muda yang ingin ambil bahagian dalam aktiviti jijik ini dinasihatkan berhati-hati kerana kerajaan mengambil serius isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, pihak polis berharap pendekatan baharu untuk membendung kegiatan mat rempit dan lumba haram itu akan berjaya diguna pakai di Pulau Pinang sebelum diikuti  negeri-negeri lain.

“Kegiatan mat rempit ini berlaku secara menyeluruh di seluruh negara, namun perhatian diberikan lebih kepada Pulau Pinang apabila berlaku kematian membabitkan sekumpulan mat rempit. 

“Berdasarkan statistik sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,096 operasi samseng jalanan dijalankan di seluruh negara dan seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dengan 21,258 saman dikeluarkan manakala 2,200 kenderaan disita,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah itu Perak merekodkan operasi samseng jalanan paling tinggi iaitu 286 operasi dengan sebanyak 4,597 saman dikeluarkan diikuti Pulau Pinang (157 operasi) membabitkan 4,444 saman serta Johor (157 operasi) dan 1,436 saman. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya