Airbnb gesa Pulau Pinang timbang semula draf cadangan aktiviti inap desa - Utusan Malaysia

Airbnb gesa Pulau Pinang timbang semula draf cadangan aktiviti inap desa

MICH GOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Syarikat hospitaliti global, Airbnb menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan semula draf cadangan untuk aktiviti penginapan sewaan jangka pendek (STRA) atau inap desa memandangkan dikhuatiri boleh menjejaskan proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi negeri itu.

Ketua Dasar Awam untuk Airbnb di Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, Airbnb bimbang cadangan draf itu akan menyukarkan rakyat negara ini menjana pendapatan sekali gus meletakkan pilihan ekonomi komuniti dalam keadaan berisiko pada masa akan datang.

Katanya, semasa dialog awam bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pada 28 Julai lalu, Airbnb dan ahli-ahli komuniti hos Airbnb memberikan maklum balas mengenai cadangan-cadangan yang diusulkan oleh pihak berkuasa  tempatan (PBT) dan badan pengurusan bersama (JMB) dalam bidang aktiviti STRA.

”Airbnb menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan negeri untuk JMB tempatan melaksanakan had ketat terhadap aktiviti STRA sehingga tiga malam seminggu dan 180 malam setahun dan menghalang STRA di bangunan strata komersial melainkan 75 peratus pemilik hadir dalam mesyuarat agung bagi mengundi untuk membenarkan STRA.

”Airbnb sebaliknya meminta tiada had malam dikenakan kerana had STRA semasa yang dicadangkan jika dipersetujui oleh JMB di bangunan strata komersial akan menyekat keupayaan Pulau Pinang untuk mengembangkan ekonomi industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Jagdeep berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian di Skim Hartanah Berstrata dan Skim Kediaman Atas Tanah yang dijangka dikuatkuasakan awal Januari tahun depan.

Jagdeep berkata, garis panduan itu dirangka bersama PBT dan agensi-agensi berkaitan sejak Disember tahun lalu dan kini lebih 90 peratus siap.

Menurut Goh, pada masa yang sama situasi itu juga akan menyukarkan pengembara domestik dan antarabangsa untuk meneroka rantau itu dan akan menjejaskan keupayaan Pulau Pinang untuk kekal berdaya saing.

”Airbnb juga ingin menggesa kerajaan negeri membenarkan aktiviti STRA untuk diteruskan di bangunan strata komersial. 

”Sebagai permulaan, STRA perlu terus dibenarkan dan JMB serta pemilik hartanah boleh memperkenalkan undang-undang yang berkaitan untuk aktiviti STRA di dalam bangunan,” katanya.

Tambahnya, panduan STRA di peringkat negeri seharusnya menggalakkan industri pelancongan, bukannya menyekat aktiviti pelancongan Pulau Pinang.

”Kami percaya STRA boleh dan perlu dikawal selia secara adil dan seimbang untuk manfaat semua pihak berkepentingan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya