PETALING JAYA: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang sebelum ini ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman kembali stabil dan sedang berada dalam fasa pemulihan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, Ainul Mardhiah sedar sejak kelmarin dan alat ventilator juga sudah tidak digunakan lagi.
Katanya, Ainul Mardhiah juga sudah boleh menggerakkan anggota badan seperti tangan dan kaki walaupun masih dalam keadaan lemah.
“Ada beberapa ubat yang dimakannya sewaktu kritikal sebelum ini juga doktor dah hentikan. Maksudnya, keadaan Ainul Mardhiah sudah bertambah baik dan semakin stabil.
“Demam pun dah tiada, sawan pun dah tak ada selepas dua hari yang mana kali terakhir Ainul Mardhiah kena sawan adalah Jumaat lepas,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar melaporkan, kanak-kanak itu menjalani pembedahan di London untuk membuang tumor di bahagian mulutnya sekali lagi diduga apabila dijangkiti kuman dan dirawat di sebuah hospital.
Ahmad Safiuddin berkata, Ainul Mardhiah sedang menunggu keputusan darah untuk melakukan rawatan susulan.
“Mungkin hari ini atau esok dapat keputusan ujian darah. Selepas dapat keputusan baru doktor bagitahu apa rawatan diperlukan,” katanya.
Katanya, Ainul Mardhiah juga sudah mula memandang kepada orang yang bercakap dengannya serta memberi respon.
“Bila kita bercakap, Ainul Mardhiah dah mula pandang, sebelum ni dia hanya termenung. Kalau doktor datang, dia tengok doktor tu,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE