MELAKA: Bapa kepada kanak-kanak bekas penghidap ketumbuhan dalam mulut, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak memaklumkan, anaknya Ainul Mardhiah kini sedang ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman sejak Jumaat lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Ahmad Safiuddin berkata, tanda-tanda awal yang ditunjukkan anaknya itu hanyalah batuk biasa dan kemudian dirujuk ke fasiliti kesihatan pada Ahad.
Katanya, Ainul Mardhiah kini sedang menggunakan bantuan ventilator memandangkan doktor mengesahkan, virus sudah merebak hampir ke semua anggota namun tidak mendedahkan lokasi anaknya itu dirawat.
“Ainul dapat jangkitan kuman dan kemungkinan ada sekali virus. Serangan kali ni agak kuat dan cepat. Serangan di tahap kritikal.
“Prosedur x-ray (sinar-x) dibuat ke atas Ainul dan nampak paru-parunya penuh tompok putih, begitu juga pada ususnya. Doktor kata, dalam tempoh tiga hari jangkitan kuman sangat kuat dan pantas.
“Hari ini (Isnin), doktor putuskan untuk sokong Ainul guna ventilator sebab virus itu mula merebak hampir di semua tempat. Para doktor di sini buat sehabis baik, support apa yang diperlukannya,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ainul Mardhiah sekali lagi diduga apabila dijangkiti kuman dan kini kritikal dirawat di sebuah hospital.
Perkara sedih itu dikongsi ibunya, Nurul Erwani Zaidi dalam Instagram hari ini. Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati, Ainul Mardhiah sudah terlalu tenat disebabkan jangkitan kuman yang sudah merebak di semua tempat. – UTUSAN