KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selesai mengemukakan keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Keterangan bela diri Presiden UMNO itu didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selama 17 hari bermula 13 April lalu.
Sepanjang prosiding, bekas Timbalan Perdana Menteri yang memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi menafikan secara berterusan kesemua 47 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah menetapkan keterangan 40 saksi pembelaan didengar selama 20 hari di antara 19 September dan 10 November ini.
Tarikh-tarikh itu ialah 19 hingga 22 September, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20 dan 31 Oktober, 1 hingga 3 November dan 7 hingga 10 November ini.
Peguam Hamidi Mohd. Noh memaklumkan, pihak pembelaan mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 orang kepada 40 orang dan saksi-saksi berkenaan tidak akan memberi keterangan untuk tempoh yang lama.
Ujarnya, pihak pembelaan akan menyediakan pernyataan bertulis saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberitahu, beliau tidak pernah menyeleweng dana Yayasan Akalbudi untuk kepentingan peribadi, sebaliknya badan kebajikan itu diuruskan berdasarkan perlembagaan syarikat.
Presiden UMNO berkata, selaku pengasas yayasan, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan dana tersebut untuk melaksanakan aktiviti kerana pengendaliannya tertakluk kepada memorandum dan artikel persatuan (M&A).
Bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan demikian ketika ditanya oleh Hamidi sama ada beliau bebas menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk kepentingan sendiri.
Dalam keterangannya sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, badan amal itu ditubuhkannya pada 1997 manakala dana diperoleh hasil daripada sebahagian besar pendapatannya ketika berkhidmat dalam dunia korporat sekitar tahun 90-an.
Mahkamah pernah diberitahu, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk tujuan peribadinya.
Ahmad Zahid didakwa terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE