Ahmad Zahid gagal dapatkan injuksi

Ahmad Zahid gagal dapatkan injuksi terhadap Muhyiddin

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi gagal mendapatkan perintah injunksi berhubung dakwaan beliau meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Pada prosiding hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu gagal mendapatkan perintah injunksi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Rozana Ali Yusof memutuskan terdapat isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan.

Pada 5 Julai lalu, Ahmad Zahid juga gagal mendapatkan perintah injuksi terhadap seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu yang sama.

Kes saman fitnah Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Ogos ini. 

Hari ini, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Presiden UMNO itu ketika dihubungi media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu turut memaklumkan mahkamah telah menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes.

“Selepas mendengar hujahan pihak-pihak, Mahkamah menolak permohonan injunksi tersebuat atas alasan isu-isu yang ditimbulkan merupakan perkara-perkara yang lebih wajar didengar dan diputuskan melalui perbicaraan.

“Antara isu yang yang dibangkitkan adalah sama ada kenyataan yang dibuat defendan (Muhyiddin) adalah fitnah atau sebaliknya. Mahkamah menolak permohonan injunksi tersebut dengan kos RM5,000,”katanya.

Pada 4 April lalu, Ahmad Zahid memohon perintah injunksi interim untuk menghalang Muhyiddin, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan fitnah berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada tarikh sana, Ahmad Zahid mendakwa Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.

Beliau mendakwa, pada hari yang sama rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya