GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha mendapatkan tarikh perbicaraan dengan segera untuk menyambung prosiding mahkamah berkaitan saman pemula empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan terlebih dahulu sebelum kerajaan negeri membuat apa-apa tindakan selanjutnya.
”Kita minta untuk mendapatkan tarikh bicara dengan segera kerana kita mahu lihat apakah keputusan Mahkamah Tinggi setelah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
”Biar proses undang-undang berjalan, keputusan Mahkamah Persekutuan pun ada impaknya apabila isytihar undang-undang negeri adalah sah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSC) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.
Empat ADUN Bersatu sebelum ini memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.
Empat ADUN berkenaan ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya, bekas wakil rakyat PKR); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh, bekas wakil rakyat PKR); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam, Bersatu) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang, Bersatu).
Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Menurut Kon Yeow, biarpun ada sesetengah pihak yang meminta diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi menentukan nasib empat ADUN itu, namun, ia tidak dapat dilakukan selagi Mahkamah Tinggi tidak membuat keputusan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, PSC 2022 merupakan peluang untuk para pedagang emas membina jaringan perniagaan serta menampilkan koleksi terbaharu barang kemas yang ada di negeri ini.
”Sejarah barang kemas di Pulau Pinang telah wujud sejak abad ke-18 , bermakna sudah lebih 100 tahun industri barang kemas diasaskan dan berkembang di Pulau Pinang.
”Saya gembira kira-kira 80 peratus daripada eksport barang kemas emas Malaysia datang dari pengilang dan pengeksport yang berpangkalan di Pulau Pinang,” katanya. –UTUSAN ONLINE