70 rumah rosak akibat ribut - Utusan Malaysia

70 rumah rosak akibat ribut

SEORANG penduduk menutup bahagian bumbung rumahnya yang rosak dengan kanvas akibat ribut di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Lebih 70 buah rumah penduduk di kawasan pedalaman di daerah ini dan Kemaman mengalami kerosakan dalam kejadian ribut, petang semalam. 

Kawasan yang terlibat di daerah ini adalah  Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi manakala di Kemaman pula di Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram. 

Bagaimanapun, kejadian ribut yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap penduduk. 

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian yang berlaku kira-kira setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kuat. 

“Angin kencang yang disertai hujan lebat itu juga mengakibatkan banyak pokok tumbang, namun, tiada rumah penduduk yang dihempap pokok. 

“Setakat ini, kita mengenal pasti 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS yang terlibat yang mana kita meminta pengerusi jawatan kuasa pembangunan dan keselamatan kampung masing-masing untuk melihat kerosakan dan bantuan atap telah dihantar ke rumah penduduk terlibat,”katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, sebanyak 21 buah rumah di kawasan Cheneh dan Felda Neram dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut tersebut. 

“Kita sedang mengemas kini jumlah sebenar rumah penduduk yang terlibat dan kita akan menggunakan peruntukan Tabung Darul Iman untuk kerja-kerja pembaikan yang dilakukan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Wahab Jusoh, 56, berkata, bumbung rumahnya mengalami kerosakan akibat dipukul ribut dalam kejadian tersebut.

“Ketika kejadian, saya dan isteri keluar ke bandar Paka. Bila kami pulang, memang terkejut tengok tiga buah bilik dipenuhi air hujan kerana bumbung diterbangkan angin. 

“Saya terpaksa menutup atap dengan kanvas buat sementara sebelum dibaik pulih,” katanya. 

Wahab berkata, kejadian ribut tersebut merupakan kali kedua yang menyebabkan bumbung rumahnya rosak. 

“Sebelum ini, pada tahun 2019 beberapa keping atap di bahagian ruang tamu tercabut,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya