5 hiasan kepala lelaki Malaysia diabadikan dalam setem khas - Utusan Malaysia

5 hiasan kepala lelaki Malaysia diabadikan dalam setem khas

TANGKAP layar setem khas yang bertemakan Hiasan Kepala Tradisional di Malaysia terbitan terbaharu oleh Pos Malaysia Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lima hiasan kepala tradisi lelaki yang terkenal meliputi empat etnik tempatan di negara ini diabadikan Pos Malaysia Berhad dalam bentuk setem khas untuk peminat filateli.

Menurut hantaran agensi tersebut menerusi laman sosialnya, inisiatif yang dilancarkan pada minggu lalu itu menawarkan koleksi bertemakan Hiasan Kepala Tradisional Lelaki di Malaysia.

“Ia tidak semesti sekadar hiasan semata-mara malah perincian yang ada pada setiap satunya itu membawa makna, fungsi dan identiti tersendiri,” jelas Pos Malaysia dalam kenyataannya.

Agensi berkenaan memaklumkan bahawa penggunaan hiasan kepala itu turut merangkumi istiadat diraja, upacara masyarakat tempatan dan kini mula meresapi gaya fesyen kontemporari.

Antara ditawarkan ialah tanjak bagi kaum majoriti Melayu di negara ini atau turut dikenali sebagai tengkolok dengan kelaziman dipakai ketika program perkahwinan dan perayaan tertentu

Setem berkenaan dijual pada nilai 70 sen sekeping manakala versi berikutnya dengan harga sama ialah tempok yang agak popular dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung.

Tidak ketinggalan ialah hiasan terkenal disebut siga bagi orang lelaki etnik Kadazan di Sabah dan lavung tepo atau dok bagi pribumi Orang Ulu di Sarawak dengan harga 80 sen sekeping.

Sementara, ketapu iaitu hiasan cukup ikonik dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak pula dipaparkan cukup istimewa sebagai lembaran mini dengan sekeping setem pada nilai RM5.

Kesemua imej berkenaan dipaparkan secara cetakan jenis spot UV dengan set folder yang lengkap termasuk sampul surat hari pertama serta lembaran mini dijualnya pada harga RM50.

Para peminat filateli turut akan menerima dua lembaran setem berbeza dengan denominasi masing-masing bernilai 70 sen dan 80 sen yang setiap satu mengandungi sejumlah 20 keping.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan siri ini di kesemua pejabat pos besar di setiap ibu negeri selain membelinya daripada sejumlah 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia Berhad.

Ini termasuklah pejabat pos di kebanyakan bandar utama seluruh negara serta empat institusi pengajian tinggi awam sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Peminat turut boleh melaksanakan tempahan pembelian atas talian menerusi pautan daripada laman sesawang rasmi iaitu https://www.pos.com.my/hiasan-kepala-lelaki-folder-set.html.

Ia koleksi bertema ketujuh tahun ini selepas Bunga Boleh Dimakan, Kuih Tradisional, Hidupan Liar Terancam, Air Terjun, Perahu Tradisional dan 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur.

Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena dengan tema tertentu atau peringatan peristiwa penting. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya