KOTA TINGGI: Hujan lebat mengiringi majlis pengebumian jenazah empat beranak yang maut dalam nahas dengan sebuah lori di Jalan Kampung Semanggar Dalam, semalam.
Kesemua jenazah yang pada awalnya dikebumikan dalam satu liang lahad, namun, terpaksa diasingkan berikutan Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, disahkan positif Covid-19 dan dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Jenazah kanak-kanak itu tiba terlebih dahulu di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja pada pukul 3.45 petang dan selamat dikebumikan hampir sejam kemudian.
Sementara itu, jenazah Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd. Yatim, 27 serta bayi mereka, Nurfatihah Jannah berusia 9 bulan selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira pukul 5.30 petang.
Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dibawa ke Masjid Jamek al-Sharif Felda Pasir Raja untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir oleh keluarga.
Kemalangan yang mengorbankan empat beranak itu berlaku pukul 1.20 petang semalam apabila motosikal jenis Yamaha LC 135 yang dinaiki keluarga itu hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori di Kampung Semanggar Dalam, dekat sini.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan. –UTUSAN ONLINE