30 peratus wanita Malaysia alami disfungsi seksual -

30 peratus wanita Malaysia alami disfungsi seksual

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Dianggarkan 30 peratus wanita berusia 20 hingga 50 tahun yang sudah berkahwin ketika ini berisiko mengalami mati putik atau disfungsi seksual sekali gus menjejaskan hubungan intim bersama suami.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad berkata, kesan utama masalah itu akan menyebabkan wanita tersebut kurang bernafsu sehingga menjadi tidak terangsang semasa bersama dengan suami.

Menurutnya, tekanan sehingga menjadi letih, masalah kesihatan, penyakit dan faktor persekitaran menjadi penyumbang kepada masalah mati putik sekaligus menyebabkan berlakunya keretakan hubungan dengan suami.

DR. Shaharum Shamsuddin (kiri) bersama Dr. Rosediani Muhamad semasa sidang akhbar selepas persidangan Seksualiti Asia di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kelantan.UTUSAN/ KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

“Selain itu, kebanyakan daripada wanita sebenarnya tidak menyedari mereka mengalami masalah tersebut. Apabila tiada keinginan untuk bersama suami, mereka menganggap ia satu perkara biasa.

“Masyarakat kita juga mudah reda dengan sesuatu perkara. Jadi, apabila berlaku tiada keinginan seks bersama suami, kebanyakan wanita tidak mahu mencari penyelesaian, sebaliknya terus reda,” katanya selepas Majlis Perasmian Kongres Persekutuan Asia-Oceania Bagi Seksologi di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Rosediani memberitahu, berpandukan kepada kajian secara kualitatif, wanita yang mengalami masalah mati putik tidak faham dengan situasi yang dialami mereka terutamanya apabila melangkah ke alam perkahwinan.

Katanya, pendedahan awal mengenai masalah atau pendekatan mengenai seksual masih kurang dalam masyarakat kita.

“Kebanyakan wanita terbawa-bawa perasaan tidak mahu dengan hubungan seks meskipun telah berkahwin.

“Suami juga mempengaruhi isteri mengalami mati putik. Berdasarkan kajian, suami yang mempunyai masalah tingkah laku tidak disenangi isteri boleh mempengaruhi masalah disfungsi seksual kepada wanita,” ujarnya.

Rosediani berkata, wanita yang mempunyai simptom mati putik tidak perlu malu dengan masalah tersebut sebaliknya berjumpa dengan pakar-pakar yang boleh membantu.

Katanya, bagi penduduk di Kelantan, Klinik Rawatan Keluarga, USM sentiasa terbuka luas untuk membantu suami dan isteri dalam merawat masalah tersebut.

“Klinik itu dibuka pada hari rabu untuk pesakit lelaki manakala wanita pada hari khamis. Ia merupakan satu usaha USM dalam memberi bantuan kepada golongan yang menghadapi masalah seksual.

“Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi dan Hospital Kuala Lumpur juga ada menawarkan perkhidmatan sama,” ujarnya.

Kongres selama tiga hari yang bermula hari ini membincangkan isu seksualiti dalam semua peringkat usia, penyakit kronik seperti kanser atau diabetes dan penyakit berjangkit.

Sesi ceramah sepanjang kongres itu disampaikan oleh penceramah dari Australia, India, Jepun, Indonesia yang disampaikan secara dalam talian di Dewan Kuliah C, Kampus Kesihatan USM. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya