KUALA TERENGGANU: Kawasan pantai sepanjang 48.7 kilometer di negeri ini berisiko tenggelam ke laut berikutan masalah hakisan pantai yang serius terutama pada musim tengkujuh.
Hakisan itu dilihat semakin serius berlaku apabila menyebabkan kemusnahan rumah dan resort yang sekali gus turut mengubah landskap muka bumi Terengganu saban tahun.
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, berdasarkan Laporan Hakisan Pantai Negara (NCES) sebelum ini, sebanyak lapan pesisir pantai di negeri ini dikategorikan sebagai kritikal akibat hakisan sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, keseluruhan kawasan pesisir pantai di negeri ini dari Besut hingga Kemaman pula sepanjang kira-kira 244 km .
“Lapan pesisir pantai terlibat adalah Pantai Kampung Teluk Budu di Besut, Pantai Taman Geliga dan Pantai Kemasik di Kemaman.
“Pantai Seberang Takir, Pantai Kampung Pak Tuyu di Kuala Nerus, Pantai Kampung Aur di Kuala Terengganu serta Pantai Teluk Lipat dan Pantai Paka di Dungun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Effi Helmy memberitahu, kejadian hakisan tersebut pula dikesan berlaku secara semula jadi akibat pengaruh Monsun Timur Laut dan aktiviti manusia yang menunjukkan dinamik ombak dan arus meningkat lebih tinggi sehingga mengakibatkan berlaku hakisan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kawasan yang terlibat dalam kejadian hakisan akan kembali kepada asal pada musim tenang sehingga membawa kepada proses baik pulih sedimen dari laut ke atas pantai oleh pergerakan angin.
Selain itu, tambahnya, tiada keperluan untuk melakukan pemetaan baharu di kawasan pesisiran pantai tersebut.
“Ini kerana, kejadian hakisan tersebut tidak melibatkan keseluruhan pantai di negeri Terengganu sebaliknya hanya kawasan kritikal yang menunjukkan kesan pengurangan garisan pantai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Effi Helmy menambah, kerajaan perlu melakukan kajian menyeluruh dan terperinci kawasan tersebut untuk mengelakkan hakisan lebih buruk termasuk membuat mitigasi dengan pembinaan struktur pantai seperti revetment, pemecah ombak dan lain-lain
“Selain itu, bagi mengelakkan hakisan terus merebak, satu kawasan baharu yang bukan kawasan penempatan penduduk perlu ‘dikorbankan’ bagi membolehkan pembentukan teluk secara semula jadi sekali gus menjadi kawasan pembiakan pelbagai hidupan laut,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan penduduk yang tinggal di kebanyakan kawasan di pesisir pantai di negeri ini mula bimbang dengan ancaman hakisan memandangkan musim tengkujuh bakal tiba kira-kira tiga bulan lagi.
Setiap kali musim tengkujuh dari Oktober hingga Februari, lebih 30 kawasan pesisir pantai dikenal pasti berisiko dengan ancaman tersebut berikutan ombak besar boleh mencapai ketinggian lebih empat meter.-UTUSAN ONLINE