SEREMBAN: Seramai 15 bayi ‘merdeka’ termasuk kembar lelaki dilahirkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini, bermula pukul 12.22 pagi sehingga pukul 2 petang tadi.
Kesemua bayi bertuah berkenaan diraikan dalam majlis yang turut disertai oleh Ahli Lembaga Pelawat HTJ diketuai Pengerusinya, Datuk Hasim Rusdi dengan cenderhati berupa kelengkapan bayi diberikan kepada ibu bayi-bayi berkenaan.
Menurut Pengarah HTJ, Dr. Zaleha Md Noor, pihak hospital sangat gembira dapat meraikan ibu-ibu yang melahirkan anak masing-masing pada hari yang istimewa buat rakyat negara ini.
“Hari ini kami meraikan sembilan orang bayi lelaki dan selebihnya enam orang bayi perempuan. Daripada jumlah berkenaan, 12 orang daripadanya merupakan bayi berbangsa Melayu, dua orang India dan seorang bayi Cina.
“Tahun ini cukup istimewa kerana kita sama-sama dapat menyambut bayi merdeka dengan meriah berbanding semasa dua tahun pandemik lalu,” katanya ketika ditemui di Bangunan Wad Wanita dan Kanak-kanak HTJ, di sini, hari ini. –UTUSAN