145 warden lalu lintas MBJB dilantik - Utusan Malaysia

145 warden lalu lintas MBJB dilantik

MOHD. NOORAZAM OSMAN memeriksa uniform warden lalu lintas MBJB pada pemeriksaan barisan di hadapan Menara MBJB, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melantik seramai 145 pegawai dan anggotanya sebagai Warden Lalu Lintas.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pelantikan itu membolehkan pegawai dan anggota tersebut menjalankan kuasa di bawah Subseksyen 3 (4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

MOHD. NOORAZAM OSMAN  melepaskan konvoi warden lalu lintas MBJB di hadapan Menara MBJB, Johor Bahru.

Beliau berkata, kesemua pegawai dan anggota yang dilantik ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 23 Disember 2021.

“Pelantikan warden trafik ini merupakan inisiatif baharu sebagai nilai tambah dalam memastikan aliran lalu lintas di  bandar raya ini berada dalam keadaan lancar dan terkawal.

“Antara aspek dan elemen yang dititikberatkan kepada warden trafik semasa menjalankan tugasan ialah penggunaan teknologi secara menyeluruh, iaitu ‘Smart Warden Traffic’,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noorazam, MBJB perlu melaksanakan perancangan dengan lebih terperinci dan teliti demi keselamatan pengguna jalan raya selain memastikan kelancaran trafik.

Kesemua warden trafik itu telah menjalani Kursus Asas Trafik Warden Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor pada 15 Ogos lalu serta latihan lapangan di Dataran Bandaraya Johor Bahru serta jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar. 

Peranan warden trafik MBJB itu bagi membantu polis mengawal aliran trafik di kawasan tumpuan di bandar raya ini bermula 7 pagi hingga 10 malam.

“Warden trafik ini turut dibekalkan kamera badan bagi merekodkan kesalahan pengguna jalan raya dan juga menjadi bukti sekiranya terdapat provokasi dan ancaman keselamatan. 

“Selain itu, peranti ‘handheld’ bagi pengeluaran kompaun telah pun diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesahkan maklumat berkaitan pemilik kenderaan di lapangan, yang dilengkapi dengan ‘GPS tracker’ bagi memperkasakan tugas anggota warden trafik MBJB,” katanya. 

Semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang telah dilantik sebagai Warden Trafik diingatkan supaya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan profesional dan penuh integriti. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya